ADIK NAK SYURGA
OLEH : NOR FATIMAH KHAIRUDDIN
Gegelung emas sang
suria hampir tenggelam di ufuk barat untuk memberi laluan buat sang rembulan bersemayam.
Unggas dan bala tenteranya berbaris pulang ke sarang. Mama, ayah dan Along
Amirah saling merenung matahari itu hilang dari pandangan seperti hilangnya Adik dari hidup mereka. Rasa kesal yang sedang
subur di dalam hati mereka tiada berguna lagi. Tenggelamnya mereka di dalam kesibukan
dunia mereka menyebabkan mereka hampir melupakan insan yang bergelar Adik. Bersemadi
jiwa Adik dengan aman bertemu penciptanya.
_____________________________________
Along Amirah
mengambil Adik dari sekolah kala waktu meniti senja. Tiada rasa bersalah
sedikit pun yang dirasai Along kerana terlewat. Kedua-dua keningnya
terangkat dan hampir bercantum
kehairanan melihat Adik melonjak riang menyambut kehadirannya. Adik masuk ke
dalam kereta dan mencium tangan Along sambil melafazkan kata maaf. Walhal,
terukir riak penat di wajahnya. Bila ditanya mengapa, hanya dibalas dengan
“Adik nak syurga!”. Along tidak
mengambil kisah dengan apa yang berlaku. Dia segera memecut kereta pulang ke
rumah.
Mama ralit
menyelak dada majalah Mingguan Wanita untuk melihat fesyen terkini dan masakan
terbaru. Hobinya bertukar pakaian dan memasak. Mama tergamam apabila Adik datang memberi salam kepadanya sambil
datang menghulurkan tangan kecilnya pada mama. Ciuman penuh hormat diberikan
sebaik sahaja mama menghulurkan tangannya. Kehendak Adik dituruti sahaja.
Apabila disoal kenapa, Adik hanya menjawab “Adik nak syurga!”. Mama tidak
menghiraukan apa yang dikatakan oleh Adia dan mengalihkan semula pandangannya
ke dada majalah.
Papa begitu asyik
menghadap dada computer riba. Dia
bertapa di situ semula setelah berdiri menghadap Tuhannya di akhir Maghrib. Telinga papa sentiasa tersumbat dengan earphone.
Perkhidmatan kerja berlangsung selama 25 jam sehari bagi memudahkan papa mencari klient. Papa
akan terlena di situ. Along yang selalu menyelimutkan tubuhnya setiap hari.
Adik menyentuh
paha papa setelah 3 kali ucapan rahmat yang diucapkan tiada berjawab. Mulut
papa berkicau kerana terkejut sambil menggosok dada. Tangan papa melayang ke
pipi adik tanpa sengaja. Riak wajah papa
tidak sedikitpun membuatkan adik merasa takut atau ngeri. Adik memberi salam
setelah papa menanggalkan earphone dari telinga. Papa seolah-olah bena
tak bena. Adik menghulurkan tangan dengan wajah selamba sambil memohon maaf
atas segalanya. Papa melarikan tangannya sambil mata berpaling semula ke dada komputer
riba.
Adik membersihkan
diri untuk sembahyang dan pergi mengaji di rumah Mak Yam di seberang jalan. Sembahyang
maghrib yang dilaksanakan seolah-olah dia tidak akan kembali lagi. Penuh
khusyuk tanpa hirau keadaan sekeliling. Air jernih mengalir di setiap geraknya
dan ucapnya. Bahu adik terhingut-hingut menahan esak tangis. Along, mama dan
papa pun tidak akan tahu. Tiada siapa pun akan tahu kecuali Yang Maha Satu.
Adik amat berharap agar Allah sentiasa menitipkan magfirah-Nya buatnya dan
semua yang disayanginya. Tidak lupa juga seluruh umat nabi Muhammad S.A.W. Curahan
rahmat dan keberkatan di setiap sisi hidupnya amat dirayu sepenuh hati.
Doa dilafaz dengan
makna di hati dan minda penuh harap agar dimakbulkan segalanya. Seusai
munajatnya, adik mencapai mushaf hadiah Mak Yam dan diletakkan di dada. Bacaan pertama
akan berlagu hari ini.Langkah dibuka dengan Basmalah setelah puas merapikan
pakaian yang menutupi tubuhnya. Tangan Along, mama dan papa sempat dicium. Adik
menolak pagar dengan perlahan. Senyuman Mak Yam menyambut di kejauhan. Belum sempat
langkah kedua dibuka, sebuah kereta Avanza ungu gelap menyambar tubuh kecil Adik.
Pandangan adik kabur serentak dengan jeritan Mak Yam.
_________________________________
Seorang gadis
kecil yang diberi nama Lady Diana cukup dikenali di seluruh Kampung Lintang
Darat. Kasar. Kerdil orangnya. Kelibat gadis bertudung bawal. Berbaju t-shirt.
Berseluar tracksuit. Itulah Adik. Nama Lady. Ops…macam lelaki. Kenalannya dari
pelbagai umur, kaum dan jantina. Basikal BMX saiz S temannya di kala petang
bertandang. Sifat ramahnya mengundang sayang di hati semua. Umurnya yang baru
mencecah angka 10 tidak menghalangnya bergaul mesra.Petah. Suka berlelucon.
Tiada siapa yang
tahu hatinya kosong. Ramah sekadar sarung. Penghibur hati luka. Kisah hidupnya
selamat dalam karung kehidupan. Tidak bocor. BMX itulah yang jadi kawan pergi
balik sekolah. Kadang-kadang dia menapak sejauh 1 km ke rumah jika tayar
basikalnya bocor. Senyum jadi jawapan tika pelawaan datang. Pernah adik lambat
pulang. Tayar BMXnya merajuk. Muka Adik selamba. Harap mama, papa mahupun Along
risau??? Minta maaflah. Terpunduk adik sendirian di depan pagar melihat
rumahnya yang sunyi. Rasa pilu menikam dada.
Adik tidak hirau.
Mak Yam sedang menunggunya untuk memutalaah bacaan semalam. Hatinya yang
sayu menjadi girang . Pujian semalam menghiburkan hati. Adik akan menghabiskan
muqaddam tidak lama lagi. Mak Yam akan buat pulut kuning untuk dihantar ke
surau jika dia dapat menghabiskan buku muqaddam kulit merah yang dikeleknya
selalu. Sedapnya! Adik terliur membayangkan kelazatan serunding daging buatan
Mak Yam.
_________________________________
Assalamualaikum Along Fatimah, mama dan papa,
Adik minta maaf ya jika ada buat salah.
Adik sayang semua macam mana Rasulullah s.a.w. sayangkan keluarganya. Doakan adik di dalam
doa along, papa dan papa. Adik nak syurga macam yang cikgu
Hasna cakap. Siapa yang buat baik akan dapat syurga. Syurga Allah cantik sangat.
Kita jumpa di sana ya!
Ikhlas dari,
Adik.”
Coretan di
kertas sederhana besar yang renyuk cukup menggambarkan hati adik yang suci dan
jujur. Mata Along Fatimah, mama dan papa memerah. Air jernih tidak berhenti menodai
pipi. Bersemadilah Adik di syurga abadi.
Kehilangan adik yang mendadak mengejutkan semua insan kesayangannya
daripada mimpi semalam. Mereka semua berjanji akan sentiasa melimpahkan ayat
suci agar jiwa Adik tenang di sana. Mak Yam melangkah pergi dari pusara adik
dengan doa dan tangisan yang tidak putus.
Lady Diana
sentiasa di dalam memori luka semalam. Moga adik gembira di sana ditemani
bidadara yang tampan paras rupanya dan tidak merasa kesunyian lagi.