Wednesday, July 23, 2014

ADIK NAK SYURGA
OLEH : NOR FATIMAH KHAIRUDDIN

Gegelung emas sang suria hampir tenggelam di ufuk barat untuk memberi laluan buat sang rembulan bersemayam. Unggas dan bala tenteranya berbaris pulang ke sarang. Mama, ayah dan Along Amirah saling merenung matahari itu hilang dari pandangan seperti hilangnya  Adik dari hidup mereka. Rasa kesal yang sedang subur di dalam hati mereka tiada berguna lagi. Tenggelamnya mereka di dalam kesibukan dunia mereka menyebabkan mereka hampir melupakan insan yang bergelar Adik. Bersemadi jiwa Adik dengan aman bertemu penciptanya.

        _____________________________________

Along Amirah mengambil Adik dari sekolah kala waktu meniti senja. Tiada rasa bersalah sedikit pun yang dirasai Along kerana terlewat. Kedua-dua keningnya terangkat  dan hampir bercantum kehairanan melihat Adik melonjak riang menyambut kehadirannya. Adik masuk ke dalam kereta dan mencium tangan Along sambil melafazkan kata maaf. Walhal, terukir riak penat di wajahnya. Bila ditanya mengapa, hanya dibalas dengan “Adik nak syurga!”.  Along tidak mengambil kisah dengan apa yang berlaku. Dia segera memecut kereta pulang ke rumah.

Mama ralit menyelak dada majalah Mingguan Wanita untuk melihat fesyen terkini dan masakan terbaru. Hobinya bertukar pakaian dan memasak. Mama tergamam apabila  Adik datang memberi salam kepadanya sambil datang menghulurkan tangan kecilnya pada mama. Ciuman penuh hormat diberikan sebaik sahaja mama menghulurkan tangannya. Kehendak Adik dituruti sahaja. Apabila disoal kenapa, Adik hanya menjawab “Adik nak syurga!”. Mama tidak menghiraukan apa yang dikatakan oleh Adia dan mengalihkan semula pandangannya ke dada majalah.

Papa begitu asyik menghadap dada computer riba.  Dia bertapa di situ semula setelah berdiri menghadap Tuhannya di akhir Maghrib.  Telinga papa sentiasa tersumbat dengan earphone. Perkhidmatan kerja berlangsung selama 25 jam sehari  bagi memudahkan papa mencari klient. Papa akan terlena di situ. Along yang selalu menyelimutkan tubuhnya setiap hari.

Adik menyentuh paha papa setelah 3 kali ucapan rahmat yang diucapkan tiada berjawab. Mulut papa berkicau kerana terkejut sambil menggosok dada. Tangan papa melayang ke pipi adik tanpa sengaja.  Riak wajah papa tidak sedikitpun membuatkan adik merasa takut atau ngeri. Adik memberi salam setelah papa menanggalkan earphone dari telinga. Papa seolah-olah bena tak bena. Adik menghulurkan tangan dengan wajah selamba sambil memohon maaf atas segalanya. Papa melarikan tangannya sambil mata berpaling semula ke dada komputer riba.

Adik membersihkan diri untuk sembahyang dan pergi mengaji di rumah Mak Yam di seberang jalan. Sembahyang maghrib yang dilaksanakan seolah-olah dia tidak akan kembali lagi. Penuh khusyuk tanpa hirau keadaan sekeliling. Air jernih mengalir di setiap geraknya dan ucapnya. Bahu adik terhingut-hingut menahan esak tangis. Along, mama dan papa pun tidak akan tahu. Tiada siapa pun akan tahu kecuali Yang Maha Satu. Adik amat berharap agar Allah sentiasa menitipkan magfirah-Nya buatnya dan semua yang disayanginya. Tidak lupa juga seluruh umat nabi Muhammad S.A.W. Curahan rahmat dan keberkatan di setiap sisi hidupnya amat dirayu sepenuh hati.

Doa dilafaz dengan makna di hati dan minda penuh harap agar dimakbulkan segalanya. Seusai munajatnya, adik mencapai mushaf hadiah Mak Yam dan diletakkan di dada. Bacaan pertama akan berlagu hari ini.Langkah dibuka dengan Basmalah setelah puas merapikan pakaian yang menutupi tubuhnya. Tangan Along, mama dan papa sempat dicium. Adik menolak pagar dengan perlahan. Senyuman Mak Yam menyambut di kejauhan. Belum sempat langkah kedua dibuka, sebuah kereta Avanza ungu gelap menyambar tubuh kecil Adik. Pandangan adik kabur serentak dengan jeritan Mak Yam.

                         
            _________________________________

Seorang gadis kecil yang diberi nama Lady Diana cukup dikenali di seluruh Kampung Lintang Darat. Kasar. Kerdil orangnya. Kelibat gadis bertudung bawal. Berbaju t-shirt. Berseluar tracksuit. Itulah Adik. Nama Lady. Ops…macam lelaki. Kenalannya dari pelbagai umur, kaum dan jantina. Basikal BMX saiz S temannya di kala petang bertandang. Sifat ramahnya mengundang sayang di hati semua. Umurnya yang baru mencecah angka 10 tidak menghalangnya bergaul mesra.Petah. Suka berlelucon.

Tiada siapa yang tahu hatinya kosong. Ramah sekadar sarung. Penghibur hati luka. Kisah hidupnya selamat dalam karung kehidupan. Tidak bocor. BMX itulah yang jadi kawan pergi balik sekolah. Kadang-kadang dia menapak sejauh 1 km ke rumah jika tayar basikalnya bocor. Senyum jadi jawapan tika pelawaan datang. Pernah adik lambat pulang. Tayar BMXnya merajuk. Muka Adik selamba. Harap mama, papa mahupun Along risau??? Minta maaflah. Terpunduk adik sendirian di depan pagar melihat rumahnya yang sunyi. Rasa pilu menikam dada.

Adik tidak hirau. Mak Yam sedang menunggunya untuk memutalaah bacaan semalam. Hatinya yang sayu menjadi girang . Pujian semalam menghiburkan hati. Adik akan menghabiskan muqaddam tidak lama lagi. Mak Yam akan buat pulut kuning untuk dihantar ke surau jika dia dapat menghabiskan buku muqaddam kulit merah yang dikeleknya selalu. Sedapnya! Adik terliur membayangkan kelazatan serunding daging buatan Mak  Yam.

                _________________________________

 Assalamualaikum Along Fatimah, mama dan papa,  

Adik minta maaf ya jika ada buat salah. Adik sayang semua macam mana Rasulullah s.a.w. sayangkan keluarganya. Doakan adik di dalam doa along, papa dan papa. Adik nak syurga macam yang     cikgu Hasna cakap. Siapa yang buat baik akan dapat syurga. Syurga Allah cantik sangat. Kita jumpa di  sana ya!
                                                                                                                  Ikhlas dari,
                                                                                          Adik.
Coretan di kertas sederhana besar yang renyuk cukup menggambarkan hati adik yang suci dan jujur. Mata Along Fatimah, mama dan papa memerah. Air jernih tidak berhenti menodai pipi. Bersemadilah  Adik di syurga abadi. Kehilangan adik  yang  mendadak mengejutkan semua insan kesayangannya daripada mimpi semalam. Mereka semua berjanji akan sentiasa melimpahkan ayat suci agar jiwa Adik tenang di sana. Mak Yam melangkah pergi dari pusara adik dengan doa dan tangisan yang tidak putus.

Lady Diana sentiasa di dalam memori luka semalam. Moga adik gembira di sana ditemani bidadara yang tampan paras rupanya dan tidak merasa kesunyian lagi.