Thursday, September 15, 2011

PEMBANGKIT KEBENARAN KEGEMILANGAN ISLAM

        


         
           Orang yang baru memeluk agama islam dipanggil sebagai mualaf. Mereka baharu sahaja menerima cahaya hidayah dari Allah S.W.T. Keberadaan di dalam agama yang mulia ini diberi keistimewaan yang tersendiri. Mereka bersih dari hitamnya dosa dan mereka juga diibaratkan dengan bayi kecil yang baru sahaja lahir. Sungguh beruntung bagi kaum muslimin ini. Allah S.W.T memberi mereka kemuliaan dan penghomatan yang tertinggi buat mereka.

            Jasa mereka dalam perkembangan umat Islam amatlah besar. Banyak monumen-monumen dan manuskrip sejarah yang lampau dan kini menjadi bukti yang nyata. Contohnya seperti sejarah Melaka yang didatangi para ulama'. Ramai yang memeluk Islam apabila melihat akhlak yang ditunjukkan oleh para dai'e utusan Ilahi. maka, terbinalah Kerajaan Islam Melayu Melaka yang berlokasi di Asia Tenggara. Sumbangan yang diberikan oleh para mualaf inilah tersebarnya Islam di seluruh dunia.

             Jika melihat dari sudut Kisah Nabi Muhammad S.A.W, terdapat banyak kisah terakam di dalam sejarhnya yang tersendiri. Ketika fasa awal baginda menyebarkan dakwah, Isteri baginda, Syaidatina Siti Khadijah dan para sahabat yang terdiri di antaranya Syaidina Abu Bakar r.d.a, Syaidina Umar r.d.a dan yang lainnya menyatakan keislamannya kepada baginda. Mereka begitu setia dan sentiasa menemani Rasulullah S.A.W dalam penyebaran dakwahnya kepada umatnya. Mereka boleh dikelasifikasikan sebagai mualaf. Cuma, istilah ini adalah istilah baru bagi zaman kita.

              Semakin ramai yang melihat keindahan Islam dan tertarik dengannya. Mereka mendapat hidayah tanpa mengira batasan umur atau suasana ataupun variasi tempat. Subhanallah. Banyak luahan saudara-saudara baru kita dan kisah mengenai pengalaman mereka semasa memeluk agama mulia ini. Mari kita sama-sama menghayati dan mengambil hikmah, iktibar dan pengajaran dalam memantapkan taqwa dan keimanan kita kepada-Nya. Antara luahan hati dan pengalaman saudara baru kita :

           Secara analoginya, bilamana seseorang mengenali sesuatu yang baru, mereka pasti akan memegangnya secara kukuh sampai bila-bila. Begitu juga dengan mereka. Mereka bersusah payah untuk mengenali agama Islam dengan lebih mendalam menyebabkan hati, jiwa dan roh mereka kukuh dan teguh dengan agama mulia ini. Mereka jatuh cinta dan bertekad untuk terus setia sehingga akhir hayat mereka. Allah memberi mereka hidayah dan melorongkan mereka jalan untuk mereka sampai ke penghujungnya yang abadi. Maha suci Allah.

           Apabila perkara ini dikaitkan dengan kita yang memang sediakala Islam sejak lahir ini, kita haruslah segera memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing mereka. Kehadiran mutiara-mutiara yang berkilau ini haruslah diambil perhatian yang selayaknya. Mereka ibarat tetamu yang dijemput khas oleh Allah S.W.T. Berdosa kita seandainya kita mengabaikan dan mengabaikan mereka. Para lelaki yang mengahwini para muslimah mualaf ini wajib bagi mereka mentarbiyah dan memimpin mereka dengan betul. Begitu juga para wanita yang berkahwin dengan golongan muslim mualaf. Banyak perkara yang perlu diambil perhatian dan dititikberatkan seperti hubungan dengan keluarga mereka, sanak-saudara dan masyarakat sekeliling mereka.Moga ukhuwah yang terjalin di antara kita dan mereka membuahkan rasa kecintaan dan mahabbah yang tidak bertepi kerana-Nya.
          

No comments:

Post a Comment